Pesara rugi RM1.7 juta ditipu skim pelaburan saham di Facebook

Iklan
Seorang pesara syarikat swasta mengalami kerugian RM1.7 juta akibat diperdaya skim pelaburan saham yang diiklankan menerusi Facebook. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Hussein)

SHAH ALAM - Seorang pesara syarikat swasta mengalami kerugian RM1.7 juta akibat diperdaya skim pelaburan saham yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah menerima satu laporan polis di daerah Petaling Jaya berkaitan kes tersebut.

Iklan
Iklan

"Seorang lelaki berusia 67 tahun mendakwa mengalami kerugian RM1.7 juta akibat diperdaya pelaburan saham," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hussein berkata, hasil siasatan awal mendapati pada penghujung Ogos tahun lalu, mangsa telah telah berminat untuk menyertai pelaburan saham di Facebook.

Iklan

"Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang ditadbir oleh dua individu dan mangsa dijanjikan pulangan lumayan serta telah diyakinkan untuk membuat pelaburan saham di dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, bagi tujuan pelaburan tersebut mangsa telah diminta untuk membuat 16 transaksi bayaran melibatkan enam akaun bank yang berbeza berjumlah RM1.7 juta.

Iklan

"Pada Oktober lalu, salah seorang individu terbabit menyatakan pelaburan di Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai kemuncak, mangsa kemudiannya diminta untuk melabur dalam pasaran mata wang Bitcoin dan kripto," katanya.

Beliau berkata, mangsa sedar telah diperdaya apabila gagal memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook.

"Kita telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Hussein berkata, masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah.

"Sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan," katanya.