SHENZHEN - Seorang kanak-kanak perempuan cemas apabila tangannya digigit seekor buaya ketika melawat pameran reptilia terbuka di China pada 1 Februari lalu.
Menurut China Press, kejadian di Plaza HUA, Shenzhen itu berlaku ketika kanak-kanak perempuan berkenaan dilihat menuju ke kawasan tersebut berseorangan tanpa pengawasan ibu bapanya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan oleh media Hong Kong memaparkan, kanak-kanak tersebut dilihat bersandar pada pagar kaca sebelum memasukkan tangannya ke dalam kolam berkenaan lalu mencuba untuk menyentuh buaya itu.
Reptilia tersebut kemudian, melompat dari kolam air dan menggigit tapak tangan kanak-kanak malang itu selama lebih kurang dua saat sebelum melepaskan menyebabkan dia mengalami kecederaan di tangan kanannya.
Pengurus yang bertanggungjawab ke atas pameran itu menyalahkan ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana mengabaikan tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, penganjur bersetuju untuk membayar kos perubatan tetapi tidak akan menanggung pampasan tambahan.