KOTA BHARU - Mesyuarat Exco negeri Kelantan pada Rabu memutuskan untuk membuka satu tapak bazar Ramadan baharu bagi membantu peniaga asal di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang tidak mampu membayar sewa tapak berkenaan selepas diambil alih sebuah syarikat swasta.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mencadangkan dua tapak bazar sama ada di Jalan Padang Perdana atau kawasan lapang berhampiran pusat beli-belah KB Mall.
Beliau memberitahu, bagaimanapun pihaknya masih membincangkan lokasi berkenaan kerana membabitkan pelbagai faktor termasuk kesesakan jalan raya.
"Kita akan membincangkan perkara ini dengan beberapa agensi termasuk pihak trafik bagi meminta nasihat mengenai cadangan lokasi itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco.
Jelas beliau, kerajaan memandang serius dan bersimpati dengan peniaga yang tidak mampu membayar sewa dan akan memberi peluang kepada mereka berniaga sepanjang Ramadan.
"Saya difahamkan oleh pihak berkenaan bahawa caj yang tinggi dikenakan oleh pihak itu kerana ruang yang lebih besar dan ada insentif lain termasuk menyediakan beberapa fasiliti kepada peniaga," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menguruskan tapak bazar itu selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membatalkan pengurusan bazar itu.
Bagaimanapun katanya, ada peniaga yang mengharapkan kerajaan membantu mereka mencari rezeki dengan meneruskan perniagaan sepanjang Ramadan.
"Jadi kerajaan turut memutuskan sewanya juga tidak akan lebih daripada RM500 bagi memberi peluang kepada lebih ramai peniaga berniaga di bazar Ramadan," katanya.
Sebelum ini tular peniaga kesal apabila FAMA Kelantan membuat keputusan tidak menganjurkan Pasar Tani Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Sebilangan besar peniaga mendakwa sudah mengeluarkan modal sehingga RM6,000 untuk pembelian bahan mentah sebagai persiapan berniaga.