Mekanik tak mengaku salah pukul anjing dengan tukul besi

Iklan
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

IPOH – Seorang mekanik yang tular kerana memukul anjing peliharaannya sehingga cedera bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.

Hew Kan Wai, 42, didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan baka pit bull kacukan berwarna putih coklat dengan sebatang tukul besi di hadapan sebuah rumah di Persiaran Tasek Timur 1, Taman Ria, Ipoh sekitar jam 8 malam pada 18 Januari 2025.

Iklan
Iklan

Bapa dua anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Timbalan Pendakwaan Raya Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 bersama syarat tambahan lain yang dikira wajar oleh mahkamah.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Kathan memohon jaminan minimum atas alasan dua anaknya masih bersekolah.

Iklan

Tertuduh yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan itu juga perlu menanggung ibu dan empat anak saudara masih kecil yang telah kematian bapa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan hingga akhir kes.

Tarikh 11 Mac depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Video berdurasi 43 saat terbabit tular selepas saksi yang merakam kejadian memberi rakaman tersebut ke Page Malaysian Dogs Deserve Better bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai.

Siasatan awal polis memaklumkan, tertuduh bertindak memukul anjing tersebut kerana haiwan itu telah menggigitnya.