[VIDEO] Dua lelaki Indonesia tak mengaku salah dagang senjata api

Iklan

BUTTERWORTH - Dua lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berdagang empat pucuk pistol dan selaras raifal M4 pada Januari lalu.

Tertuduh, Husaini, 22, dan Zulkarnaini A Rahman, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran selepas pertuduhan dibaca secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Indonesia.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama telah berdagang senjata api iaitu dua pucuk pistol jenama Glock, Sig Sauer (1), Smith & Wesson (1) serta selaras raifal M4 Carbine Caliber.

Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Rabu.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan perairan Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah sekitar jam 3.10 petang pada 27 Januari lalu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, Zulkarnaini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sepucuk pistol Sig Sauer di lokasi dan masa sama.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Ketika prosiding, tiada jaminan ditawarkan Nurul Nadia atas alasan kesalahan tersebut tidak dibenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan.