Amang seksual, jurulatih badminton diarah jalani pemeriksaan mental

Iklan
Seorang jurulatih badminton yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun diarah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu mengarahkan seorang jurulatih badminton yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan tahap kesihatan mental.

Hakim Jean Sharmila Jesudason membuat keputusan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selepas tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, mengaku memiliki kad kurang upaya (OKU) mental dan pernah menjalani rawatan sebanyak tiga kali di hospital tersebut sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Mahkamah akan menunggu laporan (pemeriksaan) itu dahulu sebelum mempertimbangkan rayuan OKT (orang kena tuduh)," kata Jean Sharmila.

Semasa prosiding, bapa dua anak dan sudah bercerai itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Iklan
Tertuduh mengaku memiliki kad kurang upaya (OKU) mental dan pernah menjalani rawatan sebanyak tiga kali di hospital tersebut sebelum ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh jam lebih kurang 7.15 malam dan 2.30 pagi pada 20 dan 21 Januari 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwaan Raya Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum atas alasan menerima gaji sebagai jurulatih sekitar RM700 dan perlu menafkahi anak RM500 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.