'Sorok, campur dadah dalam bungkusan makanan'

Iklan
Antara dadah yang dirampas polis susulan tangkapan dua lelaki di KLIA Terminal 2, Sepang, Jumaat lepas. Gambar kecil: Azman

SEPANG - Helah sorok bungkusan dadah dalam kotak makanan dan dicampurkan dengan makanan ringan untuk diseludup melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini berjaya dibongkar polis pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menahan seorang lelaki pada jam 6.30 petang di Balai Pelepasan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah bilik hotel di sekitar Sepang dan berjaya menemui satu kotak mengandungi lapan bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 8.4 kilogram (kg).

"Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki tempatan ditahan di Balai Pelepasan KLIA 2 dengan rampasan satu kotak berisi 10 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah methamphetamine seberat kira-kira 10.5 kg.

Iklan

"Semakan kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, salah seorang suspek bagaimanapun didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Iklan

Jelasnya, dadah bernilai RM607,200 itu dipercayai untuk pasaran di Sarawak.

Beliau berkata, bungkusan dadah yang disembunyikan dalam kotak makanan terbabit dicampurkan dengan bungkusan makanan ringan bagi mengaburi pihak keselamatan sebelum dibawa masuk ke dalam pesawat menggunakan kaedah 'self check-in'.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Tegas beliau, polis mengalukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama dadah dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah secara habis-habisan.