SHAH ALAM - Karnival Teknologi dan Kreativiti sempena Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) 2025 anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bakal menyediakan tenaga kerja berkualiti tinggi dalam negara.
JTM dalam satu kenyataan berkata, program selama dua hari itu akan diadakan pada 12 dan 13 Februari 2025 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang.
Menerusi tema ‘Integrasi Inovasi Ke Arah Kemampanan Agroteknologi’ yang menekankan konsep inovasi bagi meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian diyakini dapat memperkukuh kecekapan secara menyeluruh kepada rakyat.
Menurutnya, objektif utama penganjuran karnival tersebut adalah untuk menyediakan platform yang bertujuan menggembangkan pemikiran kreatif, berkemahiran dan kebolehan daya cipta dalam kalangan peserta.
"Program ini turut berfungsi sebagai medium untuk mempromosi dan memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijalankan oleh JTM di bawah Kesuma.
"Penganjuran CITEC selama dua hari ini akan dihadiri kira-kira 3,000 orang tetamu jemputan dalam kalangan agensi awam, rakan strategik dan komuniti setempat.
"Acara penutup akan diadakan pada 13 Februari 2025 bertempat di Dewan Kuliah Utama, ADTEC dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad,” katanya pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut JTM, melalui karnival tersebut turut diadakan pertandingan inovasi yang disertai sebanyak 272 pasukan terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi dan agensi awam serta swasta seluruh negara.
Antara pertandingan yang bakal dilaksanakan ialah Kluster Automasi, Peralatan dan Proses Pembuatan, Kluster Elektrik dan Elektronik, Kluster ICT, Multimedia dan Telekomunikasi, Kluster Sivil dan Bangunan, Kluster Teknologi Hijau dan Alam Sekitar serta Kluster Pengajaran dan Pembelajaran.
Selain itu, karnival tersebut akan menggabungkan beberapa aktiviti seperti seminar teknologi, pameran agensi di bawah Kesuma, Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Karnival Kerjaya MyFuture Jobs, food truck, jualan rahmah serta e-sukan.
"Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk setiap pengunjung seperti servis motosikal, semakan dan bayaran saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), karnival kerjaya yang turut menawarkan kaunter informasi, pemeriksaan gigi, program kitar semula trash to cash serta penukaran topi keledar secara percuma.
"Terdapat juga pertandingan inovasi seperti sukan TVET dan pertandingan memasak yang boleh disertai oleh pengunjung manakala aktiviti bagi kanak-kanak turut diadakan seperti soopa dopa, joy ride, berkuda, memanah serta permainan giant bubble.
"Diharapkan karnival ini menjadi platform yang sangat baik untuk menghubungkan pelajar, pencari kerja, industri dan rakyat selain dapat mempertemukan bakat, teknologi serta kreativiti, sekali gus memperkukuhkan reputasi JTM sebagai penyedia tenaga kerja berkualiti tinggi,” jelas kenyataan itu.