Harimau kumbang mati dilanggar

Iklan
Harimau kumbang yang mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Tampin-Kuala Pilah pada Isnin. Foto: Perhilitan Negeri Sembilan

TAMPIN - Seekor harimau kumbang mati akibat dilanggar kenderaan di Jalan Tampin-Kuala Pilah di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, anggotanya telah ke lokasi sejurus menerima laporan jam 11 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harimau kumbang jantan terbabit dianggarkan seberat 40 ke 50 kilogram dan ketika ditemui berada di tepi jalan.

Bahagian kenderaan yang ditemui di lokasi harimau kumbang ditemui mati. Foto: Perhilitan Negeri Sembilan

"Pejabat Perhilitan Daerah Gemas telah menerima aduan seekor harimau kumbang jantan dewasa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Iklan

"Namun, maklumat kenderaan dan pemandu tidak dapat dikenal pasti kerana ketika hadir di tempat kejadian, tiada kenderaan yang dikesan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Anggota Perhilitan menunjukkan terdapat kesan perlanggaran pada besi penghadang jalan. Foto: Perhilitan Negeri Sembilan

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat kesan perlanggaran pada besi penghadang jalan.

Iklan

Tambahnya, Unit Konservasi Harimau Malaya Negeri Sembilan dan Perhilitan Daerah Seremban telah membawa bangkai harimau terbabit ke Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu di kawasan yang gelap serta berdekatan dengan kawasan hutan atau disyaki laluan hidupan liar," jelasnya.