RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas 3,000 anak pokok durian jenis duri hitam bernilai hampir RM1 juta yang diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori di Kampung Parit Air di sini pada Ahad.
Dalam Op Taring Wawasan itu, PGA turut menahan pemandu lori berusia 44 tahun bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai pelbagai anak pokok durian jenis duri hitam (black thorn) di dalam lori tersebut.
"Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, anak pokok durian itu mahu dihantar ke kebun di Perak.
Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Ujar beliau, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," tegasnya.