SHAH ALAM - Situasi orang tengah atau ejen yang menaikkan harga sewaan tapak bazar Ramadan kepada peniaga menyebabkan harga makanan dijual sukar untuk diturunkan.
Peniaga yang menetap di Pahang, Muhammad Rusyaidi Mohammad Rais, 24, berkata, disebabkan sewa tapak mahal, dia terpaksa menaikkan harga makanan daripada RM1 ke RM2 untuk menampung kos.
"Ada juga ejen mengambil banyak tapak sewa daripada PBT sebelum jual semula pada harga tinggi sehingga mengganggu orang yang betul-betul ingin berniaga.
"Ada juga peniaga yang rapat dengan ejen, guna orang dalam, mereka sewa banyak tapak jadi kami yang betul-betul nak berniaga tak boleh nak sewa, ini sangat tidak adil,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga bazar Ramadan, Nurul Syahira Salim, 27, berkata, dia amat bersetuju dengan arahan Perdana Menteri kerana inisiatif itu secara tidak langsung membantu peniaga mendapat tapak sewaan dengan lebih mudah dan murah.
Tambah Nurul Syahira, dia pernah melihat rakannya menjadi mangsa ejen yang menaikkan sewaan tapak selain menyebabkan PBT mengambil tindakan kerana tiada dokumentasi pelesenan.
"PBT datang periksa lesen, dokumen dan sebagainya dan nak dijadikan cerita salah satu dokumen itu tiada nama kawan saya, jadi memang dia dikenakan tindakan oleh mereka.
"Untuk makluman di kawasan kampung, harga tapak yang ditetapkan PBT hanyalah RM340 ke RM380 sahaja tetapi kalau dekat ejen akan mahal sedikit, akan naik sebanyak RM80 ke RM100 lagi,” ujarnya.
Kata Nurul Syahira, dia berharap perkara tersebut dapat segera diselesaikan oleh kerajaan dan PBT kerana tindakan ejen tersebut menyebabkan peniaga tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga makanan demi menampung kos sewa tapak.