SHAH ALAM - Tidak pelik dan biasa berlaku jika ada syarikat yang baharu ditubuhkan diberikan kontrak besar atau pun konsesi.
Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, ini kerana usahawan boleh memilih sebuah syarikat sama ada yang baharu diperbadankan atau sudah lama wujud sebagai satu syarikat kelonsong (dormant company) sebagai 'syarikat tujuan khas'.
Beliau memberi contoh, seorang usahawan ada tiga perniagaan berasingan yang jika digabungkan prestasi, kedudukan kewangan dan potensinya melayakkan syarikat-syarikat berkenaan untuk disenaraikan saham.
"Macamana nak buat, senaraikan tiga sekali macam tu sahaja? Kalau berasingan, tak layak pulak. Jadi, ketiga-tiga syarikat yang nak disenaraikan itu akan disuntik ke dalam SPV berkenaan dan saham-saham baharu diterbitkan kepada pemilik asal.
"Prestasi ketiga-tiga syarikat akan digabungkan secara 'profoma' atau seolah-olah mereka sudah beroperasi sebagai satu kumpulan dari hari pertama lagi. Biasanya bank pelaburan selaku penasihat akan memastikan proforma ini disediakan dengan kaedah yang mengikut undang-undang dan piawaian perakaunan.
"Oleh itu, janganlah pelik jika ada syarikat yang baharu ditubuhkan diberikan kontrak atau pun konsesi," ujarnya menerusi laman Facebook.
Sebelum ini, aktivis Pas Nurul Islam Mohammed Yusoff mempersoalkan pemilihan tiga syarikat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan.
Tambah Nik Mohd Hasyudeen, biasanya kontrak atau konsesi besar bukan sahaja mengambil kira prestasi dan kedudukan kewangan.
"Itu biasanya dikira kemudian. Apa yang lebih penting ialah cadangan teknikal yang berkaitan dengan kontrak atau konsesi, adakah perkara-perkara ini ada dalam laporan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Jadi janganlah cepat nak komen jika kita tiada maklumat yang menjadi asas keputusan. Nanti nampak macam beruk kena belacan pula.
"Perkongsian pagi ini juga tidak membetulkan keputusan atau tindakan sesiapa. Ia adalah kenyataan am, jika anda ada maklumat spesifik yang sahih, anda berhak mengambil kedudukan berdasarkan maklumat yang sahih dan spesifik itu," jelasnya.