KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan buku mewah bertajuk 'Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands' di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Buku tersebut diterbitkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad.
Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Presiden WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan negeri.
Buku tersebut turut memuatkan koleksi gambar serta fakta menarik hasil daripada kajian dan kerja lapangan selain interaksi bersama masyarakat tempatan.
Karya ini dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keistimewaan alam semula jadi di Setiu Wetlands serta kepentingan usaha pemuliharaannya.
Sementara itu, Tunku Ali berkata, penerbitan buku mewah itu adalah langkah penting dalam memupuk kesedaran tentang Setiu Wetlands sebagai permata semula jadi yang harus terus dipelihara demi kelestarian generasi kini dan masa depan.
"Buku mewah ini juga adalah simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan Setiu Wetlands uang selama ini menjadi tunjang kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, buku itu adalah lambang pencapaian usaha sama antara CIMB Islamic dan WWF-Malaysia bagi memulihara Setiu Wetlands sejak tahun 2019.
"Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh perlindungan dan pengurusan Setiu Wetlands serta pemerkasaan komuniti tempatan.
"CIMB Islamic sentiasa komited untuk menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem di Setiu Wetlands, didorong oleh keunikan dan peranan kritikalnya bagi kehidupan masyarakat tempatan," katanya.