BUKTI MERTAJAM - Penunggang motosikal yang ditahan polis berikutan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang tugas penjawat awam ketika Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, lelaki warga tempatan berusia 50 tahun itu juga kini direman selama tiga hari sehingga 12 Februari depan untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Bagi kesalahan dadah, dia disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan tindakan seorang lelaki memaki hamun penguat kuasa dengan kata-kata kesat membawa padah apabila dia ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam menerusi Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang,di sini, pada malam Ahad.
Sebelum itu, lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang menunggang motosikal dengan membonceng teman wanitanya seorang warga Indonesia telah diperiksa anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira jam 10 malam sebelum didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.
Bagi kesalahan berkenaan, dia diminta untuk meninggalkan motosikalnya kerana tindakan penyitaan telah diambil, namun keputusan berkenaan menyebabkannya tidak berpuas hati sebelum dia bertindak mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat serta melakukan provokasi.
Lelaki terbabit kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut kerana menghalang tugas penjawat awam.