KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Taiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan memperdagangkan dan memiliki senjata api pada bulan lalu.
Cheng Ming Hung, 26, dan Hsueh Chun Ta, 33, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa memperdagangkan 14 pistol dan 1 laras ‘sub machine gun’ tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Desa ParkCity, Sentul di sini, pada jam 5.30 petang, 16 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh bersama-sama tanpa sebab yang sah, memiliki satu pistol tiruan jenama ‘five-seven MK2P’ dan dua kelopak peluru kosong dalam almari di rumah sama, pada tarikh serupa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Berbahaya 1960 dan dibaca Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama, memiliki senjata api iaitu 14 pistol, 1 ‘sub machine gun’ dan 900 peluru, tanpa kebenaran yang sah, di lokasi dan tarikh serupa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun, enam kali sebatan.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Siti Shakirah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh warga asing ini diikat jamin kerana pertuduhan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mac depan.