Bomba Kedah siap sedia hadapi peningkatan panggilan kebakaran musim panas

Iklan
Awang Hidzel (kiri) memakaikan pangkat kepada anggota JBPM Kedah di Ibu Pejabat JBPM pada Isnin.

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersedia menghadapi peningkatan panggilan kecemasan berkaitan kebakaran terbuka susulan cuaca panas yang melanda negeri ketika ini.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pada tahun lalu berlaku peningkatan pada julat 54.90 peratus berbanding tahun 2023, iaitu sebanyak 1,980 kes direkodkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membabitkan kebakaran terbuka seperti kebun, lalang, hutan dan timbunan sampah.

"Pada tahun 2023 menunjukkan kes yang relatif dengan tahun sebelumnya, iaitu masing-masing 689 kes bagi tahun 2022 dan 1,087 kes pada tahun 2023.

Iklan

"Semua anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini sentiasa siap sedia untuk hadapi sebarang kemungkinan berlaku peningkatan panggilan kebakaran,” katanya pada sidang akhbar sempena perhimpunan tahunan 2025 JBPM Kedah di sini pada Isnin.

Awang Hidzel berkata, semua anggota bomba turut dinasihatkan agar meningkatkan kesihatan untuk berdepan cuaca panas agar dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Iklan

"Kita juga pantau kawasan hotspot kebakaran yang dikenal pasti terdapat lebih 40 kawasan namun hasil pemantauan berterusan jumlah itu meningkat.

"Lokasi sering banjir juga bertambah, sebelum ini kita tidak jangka tempat berkenaan akan banjir, sekarang jumlah itu juga bertambah. Ini bermakna penilaian perlu dikaji dari masa ke masa ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini khususnya sepanjang musim panas terik, orang awam dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti riadah berseorangan.

"Jika mendaki gunung atau bukit termasuk hutan sekurang-kurangnya bersama dua atau tiga rakan, pastikan telefon bimbit dapat dihubungi atau maklum kepada keluarga dan balai polis berdekatan.

"Penduduk juga dinasihatkan agar memantau aktiviti pembakaran terbuka dan jangan sesekali tinggalkan api yang belum padam sepenuhnya, terutama pada lewat petang kerana angin lebih kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Hidzel memaklumkan, JBPM Kedah merekodkan sebanyak 9,162 kes pada tahun lepas, merangkumi 3,776 kes kebakaran, 5,155 kes penyelamatan, 218 kes tugas-tugas khas serta 13 kes panggilan palsu.

"Jumlah panggilan palsu direkodkan tahun lepas sebanyak 21 panggilan, berbanding 19 panggilan pada tahun 2023 dan 20 panggilan pada 2022.

"Panggilan palsu ini mungkin berpunca dari kekhilafan, kurang kesedaran, gangguan emosi, atau niat tertentu. Tindakan sebegitu membazirkan sumber, melambatkan bantuan kecemasan ke lokasi kecemasan sebenar.

"Kebiasaan dilakukan budak-budak nakal yang sengaja memanggil kerana seronok melihat kehadiran jentera bomba, namun tindakan boleh dikenakan terhadap pemanggil palsu,” katanya.

Menurutnya lagi, individu yang membuat panggilan palsu boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara setahun, serta Seksyen 187 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000.

"Setiap panggilan palsu direkodkan dalam sistem MERS999 (Malaysian Emergency Response Services 999) iaitu sistem pusat panggilan kecemasan kebangsaan Malaysia dengan nombor pemanggil, nama dan alamat,” katanya.