KUALA NERUS - Tindakan memindahkan minyak diesel tanpa kebenaran dengan meletakkan logo Persatuan Nelayan Kebangsaan dan logo diesel subsidi nelayan di sebuah lori tangki membawa padah apabila perbuatan itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya merampas sebuah lori tangki dan lima skid tank dengan anggaran muatan minyak diesel sebanyak 32,760 liter dalam serbuan dijalankan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Gong Badak, di sini pada Ahad.
Menurutnya, serbuan yang dijalankan oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama satu minggu sebelum serbuan dilaksanakan.
"Berdasarkan maklumat risikan, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan perkhidmatan lori tangki yang tertera logo dan perkataan Persatuan Nelayan Kebangsaan di bahagian sisi badan lori tangki dan pada bahagian belakang lori tertera logo perkataan Diesel Subsidi Nelayan.
"Semasa serbuan dijalankan lebih kurang 16,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari lori tangki ke skid tank dengan menggunakan paip saluran getah.
"Pemeriksaan lanjut yang mendapati lori tangki tersebut tidak memiliki sebarang lesen, permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM371,069.86.
Justeru, beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 60-an dan seorang lelaki warganegara Myanmar telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi," jelas beliau.