Polis terima 44 laporan pelaburan mata wang kripto babit kerugian lebih RM33.05 juta

Iklan
Ramli

KUALA LUMPUR - Sebanyak 44 laporan polis diterima membabitkan kerugian lebih RM33.05 juta melibatkan skim penipuan pelaburan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun mendakwa menjadi mangsa skim penipuan pelaburan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang pengurus membuat laporan polis pada 7 Februari lalu.

"Siasatan mendapati mangsa menyertai skim pelaburan ini pada Julai 2024 selepas melihat iklan di laman sosial Facebook.

Iklan

"Skim pelaburan ini kononnya berasaskan kripto menawarkan pulangan pelaburan antara 10 hingga 50 peratus," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa kemudiannya melakukan 26 kali transaksi bayaran ke 14 akaun bank atas nama syarikat dan perniagaan berbeza untuk tujuan pelaburan.

Iklan

"Selepas membuat pembayaran, mangsa melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan.

"Bagaimanapun, mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran apabila mahu membuat pengeluaran wang," katanya.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati terdapat 44 laporan polis diterima melibatkan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM33,075,511.50 berkaitan skim pelaburan ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

"Mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan ini diingatkan supaya menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada syarikat terbabit," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang terkesan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

"Semua pelaburan kononnya untuk mata wang kripto, dalam hampir semua kes dilaporkan adalah sebenarnya langsung tidak melibatkan pelaburan sedemikian.

"Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan laman web mengenai laba diperoleh sehingga ada mencecah puluhan juta ringgit," katanya.

Ramli berkata, sindiket menggunakan teknologi terkini untuk memperdaya mangsa sehingga menyebabkan mangsa mempercayai mendapat keuntungan.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama menjanjikan keuntungan lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal SemakMule CCID, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM), dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.