PENAMPANG - Lebih banyak aduan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan kesedaran masyarakat kini semakin peka dengan isu kepenggunaan, kata menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.
Bagaimanapun, Armizan menyarankan supaya aduan tersebut dibuat ke platform yang bersesuaian untuk direkodkan dan juga untuk diambil tindakan susulan oleh pihak KPDN.
"Di bawah kepimpinan saya di KPDN, sebagaimana program Kita Gempur yang kita laksanakan itu lagi banyak aduan, lagi bagus bagi saya.
"Sebab ia menggambarkan tentang advokasi, tentang kesedaran rakyat mengenai hak mereka. Jadi saya tidak melihat bilangan aduan itu rendah, penting bagi saya. Saya lagi suka supaya aduan lebih banyak untuk menggambarkan kesedaran masyarakat.
"Tapi buat aduan di platform bersesuaian telah kita tetapkan supaya kita ada rekod, supaya kita boleh buat tindakan susulan dalam tempoh saya tetapkan. Saya khuatir kalau kita viralkan dahulu, saya risau pihak disyaki akan cuba menyembunyikan kesalahan mereka lakukan, jadi lapor dan buat aduan, saya galakkan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back To School di salah sebuah pasar raya di Penampang pada Ahad.
Sehubungan itu, Armizan menyarankan KPDN di semua peringkat menggunakan saluran aduan sedia ada untuk diperluaskan lagi menerusi pelbagai kaedah yang sesuai.
"Contohnya di Sabah ini saya telah arahkan menggunakan papan iklan dan skrin pengiklanan diod pemancar cahaya (LED) untuk memaklumkan saluran aduan tersebut.
"Janganlah pasang muka Menteri KPDN dengan ucapan Selamat Hari Raya, Selamat Hari Krismas tetapi lebih kepada perkara yang berinformatif," katanya.