'Pak Belang' sudah kembali ke hutan

Iklan
Harimau belang memburu makanan hingga ke kawasan penduduk disebabkan populasi babi hutan yang berkurangan di hutan. Gambar hiasan, gambar kecil: Yusoff

SUNGAI SIPUT - Harimau belang yang dilaporkan menyerang lembu ternakan penduduk di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan pada 17 Januari lalu dipercayai telah kembali semula ke dalam hutan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tinjauan staf Unit Harimau di lokasi terbabit mendapati kelibat 'Pak Belang' itu tidak lagi kelihatan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiada aduan baru diterima dan kita percaya harimau ini telah bergerak masuk balik ke dalam Hutan Simpan Kinta berhampiran.

"Bagaimanapun tidak mustahil haiwan pemangsa ini akan datang semula untuk mencari ternakan penduduk yang dibiarkan bebas meragut," katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini pada Sabtu.

Iklan

Yusoff berkata, penduduk kampung diminta supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran terutama di lokasi kejadian.

"Dari segi geografi kedudukan Hutan Simpan Kinta ini tidak jauh dari kawasan perumahan dan perkampungan.

Iklan

"Harimau ini memburu makanan hingga ke kawasan penduduk disebabkan populasi babi hutan yang berkurangan di hutan berhampiran akibat demam babi Afrika," katanya.

Media melaporkan Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan berhubung serangan harimau belang terhadap lembu ternakan penduduk pada 17 Januari lalu.

Susulan itu, Perhilitan memasang kamera bagi tujuan pengesanan dan perangkap khas untuk menangkap harimau belang berkenaan.