KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap peniaga melakukan halangan dengan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam.
DBKL memaklumkan, sebanyak lapan tindakan sita dan enam kompaun dikeluarkan menerusi tindakan khas dijalankan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Dang Wangi.
Menurutnya, tindakan itu di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana melanggar syarat lesen perniagaan ditetapkan.
"Antara barangan yang disita adalah meja kerusi plastik, gerai besi, kanopi dan lain-lain peralatan.
"Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
DBKL memaklumkan, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
Pada masa sama, orang awam yang mempunyai sebarang aduan boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/