RANAU - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick antara jemaah menteri yang menyuarakan pandangan dalam mesyuarat jemaah menteri berhubung cadangan garis panduan umat Islam menghadiri acara keagamaan di rumah ibadat bukan Islam.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghargai keputusan kerajaan yang akhirnya tidak meneruskan cadangan garis panduan tersebut yang disifatkan sebagai menonjolkan semangat toleransi kepada kepelbagaian kaum dan agama serta menghormati kematangan penganut agama Islam di negara ini.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah membuka ruang kepada ahli-ahli Kabinet untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya di antara yang telah menyatakan pandangan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
"Susulan itu, Perdana Menteri telah mengumumkan keputusan iaitu tiada keperluan untuk meneruskan cadangan mewujudkan garis panduan tersebut.
"Kerajaan menghormati kematangan umat Islam dalam menimbang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPKO Bahagian Ranau di Kampung Lasing, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengesahkan kehadirannya pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah membincangkan isu yang timbul susulan laporan media yang menyebut mengenai cadangan pengwujudan garis panduan tersebut.
Katanya lagi, Kerajaan Madani juga mahu memperkasakan toleransi agama serta kebersamaan rakyat majmuk.
"Jadi kerajaan mengalu-alukan dialog-dialog keharmonian terutamanya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
"Ini bagi menggalakkan lebih banyak interaksi antara pemimpin dan penganut pelbagai agama supaya persefahaman dan sensitiviti agama dapat diperkasakan lagi," katanya.
Sehubungan itu, Ewon berkata, UPKO berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus komited memimpin negara majmuk ini berasaskan kepada prinsip toleransi dan kebersamaan rakyat.
"UPKO telah melaksanakan tanggungjawabnya menjadi sebahagian daripada keputusan kerajaan semalam. Ini merupakan sumbangan UPKO kepada masa depan negara berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.