JOHOR BAHRU – Tiga cedera dalam nahas melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kempas Baru di sini pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, hasil laporan polis yang diterima, nahas berkenaan dipercayai berlaku pada jam 6.25 petang di lokasi sebagaimana yang dimuat naik di laman facebook JB Tracer II: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report 2 di pautan https://www.facebook.com/share/p/19FMdEgWdw/?mibextid=wwXIfr
"Siasatan mendapati kenderaan jenis Ford Ranger 2.0 yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Setia Tropika telah melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Ford Ranger terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar van KIA Pregio dipandu lelaki warga tempatan berusia 53 tahun.
"Selain itu, pemandu Ford Ranger turut melanggar motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun dan motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang sedang berhenti di lampu isyarat lokasi kejadian,” katanya.
Kemalangan berkenaan menyebabkan pemandu van mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kanan, penunggang motosikal Yamaha 15ZR pula cedera di bahagian pinggang, leher dan tangan manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher, tangan kanan dan kedua-dua kaki.
Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sementara pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujian saringan air kencing mendapati pemandu Ford Ranger negatif dadah dan bagi ujian saringan bacaan kandungan alkohol (SD2 ) juga negatif.
Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tempoh 12 bulan.