IPOH - Taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya membongkar kesalahan yang dilakukan pemandu dalam Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026.
Operasi itu turut menyaksikan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan sendiri turun padang dengan menyamar dan menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang ke Ipoh bersama tiga pegawai penguat kuasa JPJ.
Beliau berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi menilai tahap pematuhan undang-undang secara lebih telus dan berkesan, khususnya melibatkan kenderaan perkhidmatan awam yang membawa penumpang sempena musim perayaan.
"Dalam perjalanan penyamaran itu, kami turut menjalankan pemeriksaan rawak terhadap empat buah bas ekspres dari Ipoh ke Pulau Pinang.
"Hasil pemeriksaan mendapati hanya satu kenderaan melakukan kesalahan, iaitu tidak menyediakan pemandu kedua seperti ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya di sini pada Isnin.
Mohammad Yusoff berkata, secara keseluruhannya kebanyakan pengusaha dan pemandu bas didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk aspek keselamatan dan dokumentasi perjalanan.
Katanya, JPJ Perak menubuhkan empat pasukan khas yang akan melaksanakan penyamaran secara berterusan, termasuk pada waktu malam sepanjang tempoh operasi.
"Operasi ini dilaksanakan secara terbuka dan menyeluruh melibatkan semua syarikat bas ekspres bagi memastikan tahap pematuhan berada pada tahap terbaik,” katanya sambil menasihatkan pemandu serta pengusaha supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat.
Sementara itu, beliau berkata, JPJ Perak merekodkan sebanyak 1,307 notis dan saman atas pelbagai kesalahan trafik yang telah dikeluarkan hasil Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula Jumaat lepas.
Mohammad Yusoff berkata, motosikal mencatatkan jumlah tindakan tertinggi dengan 892 notis keseluruhan, diikuti kereta sebanyak 404 kes, manakala kenderaan perkhidmatan awam merekodkan 11 kes.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,109 notis saman P (22) telah dikeluarkan melibatkan 767 kes motosikal, 331 kes motokar dan 11 kes kenderaan perkhidmatan awam.
"Selain itu, 13 notis sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 direkodkan, masing-masing 10 melibatkan motosikal dan tiga melibatkan kereta, serta 185 lain-lain notis membabitkan 115 kes motosikal dan 70 kes kereta," katanya. - Bernama