KUANTAN - Siapa yang tidak sedih apabila melihat suami dan anak tersayang diuji dengan masalah kesihatan serius sehingga menyebabkan seluruh kudrat dicurahkan untuk menguruskan mereka.
Biarpun tanggungjawab itu berat, namun Kamariah Daud, 68, cekal menjaga anaknya, Nor Eishaty Rhadiah Kamis, 38, yang terlantar akibat kanser paru-paru.
Tanpa mengeluh, warga emas yang menetap di Kampung Chengal Lempong ini turut menguruskan suaminya, Kamis @ Abu Bakar Mohd Nor, 75, yang bukan hanya menghidap darah tinggi dan mendapat serangan angin ahmar, tetapi juga menghidap penyakit demensia sejak kira-kira dua tahun lalu.
Kamariah berkata, dugaan ini bukan sesuatu yang mudah, bagaimanapun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
"Sebagai seorang isteri dan ibu, saya perlu kuat dan tidak pernah terbeban kerana ini tanggungjawab serta ALLAH sedang uji saya
"Cuma, saya selalu berdoa agar diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus menjaga mereka selagi hayat masih ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempong di sini pada Jumaat.
Bercerita lanjut, Kamariah berkata, anak kelima daripada 12 beradik itu pernah mengadu sakit pada bahagian betis, sebelum dirujuk ke doktor pakar pada September tahun lalu.
Ujarnya, doktor mengesahkan Nor Eishaty Rhadiah menghidap kanser paru-paru tahap empat selepas pemeriksaan lanjut pada Mac lalu.
"Dia dulu sihat dan menguruskan rumah setiap hari, tetapi kini hanya mampu terlantar kerana sakit di bahagian belakang," katanya.
Lebih menyedihkan, Kamariah berkata, anaknya memilih untuk tidak menjalani rawatan kemoterapi dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan hospital.
Katanya, kini Nor Eishaty Rhadiah memerlukan bantuan seperti lampin pakai buang dan tisu, yang setakat ini ditanggung oleh adik-beradiknya yang bekerja sendiri dan sudah berkeluarga.
Dengan keperluan bulanan mencecah RM300 untuk membeli lampin pakai buang sahaja, Kamariah terpaksa meminta bantuan saudara-mara bagi menampung keperluan anak dan suaminya.
"Selain itu, anak saya juga memerlukan alat bantuan pernafasan kerana sering mengalami kesukaran bernafas.
"Jika ada alat itu, sekurang-kurangnya dia dapat bernafas dengan lebih baik," katanya yang bersyukur kerana menerima bantuan katil daripada sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ditanya mengenai bantuan, Kamariah yang tidak bekerja memaklumkan ada menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM250 sebulan.
Selain itu, dia kini dalam proses membuat permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban perbelanjaan harian dan kos rawatan anaknya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0611441000072714 atas nama Nor Eishaty Rhadiah Khamis.