SEREMBAN - Seorang duda warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, empat tahun lalu.
Tertuduh Said Sapie, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari di tepi pantai Kuala Lukut, Chuah, Port Dickson pada Mac 2021.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memaklumkan kepada mahkamah dia tidak bekerja, telah kematian isteri dan menjaga cucu kepada anaknya yang meninggal dunia.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat perlu melapor diri setiap bulan di balai polis dan tidak mengganggu mangsa.
Sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 7 Mac depan.