Penduduk Palestin enggan berganjak dari Gaza

Iklan
Penduduk Palestin mahu bersama-sama membina semula Genting Gaza yang musnah teruk.

DEIR AL-BALAH - Saeed Abu Elaish kehilangan puluhan ahli keluarganya dalam perang genosid dilancarkan rejim Zionis selama lebih 15 bulan.

Rumahnya di utara Genting Gaza turut musnah.

Iklan
Iklan

Kini, dia bersama ahli keluarga yang terselamat tinggal di bawah khemah sementara yang didirikan di tapak kediamannya yang binasa sepenuhnya.

Meskipun tiada tempat tinggal yang sempurna, Abu Elaish dengan lantang menolak idea Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu melakukan pemindahan paksa ke atas penduduk Gaza.

Iklan

"Kami menentang sebarang rancangan yang mahu memindahkan kami dari tanah air ini,” katanya dari kem pelarian Jabalia.

Wanita dan kanak-kanak merupakan golongan paling teruk terjejas dalam perang genosid di Gaza.

Beberapa pakar melihat pelan Trump itu mungkin sebahagian daripada 'taktik rundingan', namun penduduk Palestin percaya ia jelas satu langkah pengusiran sama seperti Nakba (malapetaka) pada 1948 ketika ratusan ribu penduduk Palestin dihalau dari kampung halaman masing-masing ketika penubuhan negara haram Israel.

Iklan

"Kami tidak mahu tragedi dihadapi nenek moyang kami kembali berulang. Kira-kira 77 tahun lalu, keluarga saya diusir selepas rumah mereka di perkampungan Hoj (kini selatan Israel) dirobohkan

"Keluarga saya ditempatkan di kem pelarian Jabalia di Gaza yang kini berkembang menjadi kawasan kejiranan yang besar dalam tempoh beberapa dekad. Tetapi, semuanya sudah tinggal sisa runtuhan,” ujarnya dalam nada hiba.

Mustafa al-Gazzar juga mempunyai kisah serupa.

Al-Gazzar berusia lima tahun ketika dia bersama keluarganya diusir Zionis setelah bandar Yabneh (kini tengah Tel Aviv) diceroboh pada 1948.

"Saya lebih sanggup tinggal di bawah khemah. Saya tidak akan berganjak dari sini. Trump sepatutnya mencapai penyelesaian dua negara demi keamanan di rantau ini,” kata lelaki berumur dalam lingkungan 80-an itu di luar rumahnya yang dibedil Zionis di bandar Rafah, selatan Gaza.

Rumah separa musnah menjadi tempat berlindung buat sebahagian penduduk Palestin.

Pertahan tanah air

Amna Omar, 71, dari bandar Deir al-Balah, tengah Gaza menggelar Trump sebagai 'orang gila' kerana mencetuskan idea tak masuk akal seperti itu.

Wanita itu kini berada di Mesir kerana menemani suaminya yang menghidap barah untuk mendapatkan rawatan sebelum dia meninggal dunia pada Oktober lalu.

"Saya bersama penduduk Palestin yang lain mahu segera pulang ke Gaza. Ia adalah tanah air kami dan tidak mahu menghembuskan nafas terakhir di Kaherah,” tambahnya.

Mereka tetap gembira dapat kembali ke tapak rumah masing-masing meskipun sudah binasa dibedil Zionis.

Penduduk Palestin telah menunjukkan keazaman yang kuat untuk kembali ke kampung halaman masing-masing selepas hampir seluruh populasi hilang tempat tinggal.

Beberapa hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa, ratusan ribu sanggup bersesak untuk kembali ke utara Gaza yang sebelum ini menjadi medan pertempuran utama Zionis.

Meskipun tiada lagi rumah untuk didiami dan bekalan air atau elektrik untuk meneruskan hidup seperti biasa, penduduk Palestin tetap mahu kekal di tapak asal tempat tinggal mereka.

Undang-undang antarabangsa melarang pemindahan penduduk secara paksa.

Kumpulan hak asasi manusia di Tel Aviv, B'Tselem memberitahu kenyataan Trump merujuk kepada kempen pembersihan etnik.

"Ia adalah peta jalan untuk Nakba kedua terhadap kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza,” ujarnya.

Pelarian Palestin telah sekian lama menuntut hak untuk kembali semula ke tanah air mereka yang kini menjadi sebahagian daripada kawasan negara haram Israel.

Rejim Tel Aviv bagaimanapun menafikan hak itu atas alasan bimbang dengan nasib komuniti pendatang haram Yahudi yang merampas tanah penduduk Palestin.

Penolakan idea mengarut Trump turut dizahirkan penduduk Palestin di Tebing Barat dan negara jiran seperti Jordan dan Lubnan yang turut menjadi tuan rumah pelarian Palestin.

"Jika Trump mahu mengosongkan Gaza, beliau perlu membenarkan penduduk Palestin kembali ke kampung halaman asal ketika pengusiran pada 1948 yang kini berada di dalam kawasan Israel,” kata Mohammed al-Amiri di bandar Ramallah. - Agensi