Perak larang jualan, minum arak sepanjang perarakan Thaipusam

Iklan
Sivanesan

IPOH - Perak melarang sebarang penjualan dan penggunaan minuman beralkohol di semua lokasi perarakan Thaipusam yang bakal disambut bermula Isnin depan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, larangan itu dibuat susulan terdapat aduan situasi tidak menyenangkan dalam kalangan penganut dan pengunjung pada sambutan sebelum ini.

Iklan
Iklan
Sivanesan mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Thaipusam 2025 peringkat negeri Perak pada Khamis.

Menurutnya, mana-mana pihak yang melanggar ketetapan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan kanun keseksaan atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman awam.

"Ini adalah permintaan kerajaan negeri supaya tindakan tegas diambil.

Iklan

"Sebelum ini, ada aduan bahawa berlaku aktiviti jualan dan minum arak ketika perarakan pedati terutama waktu malam, cuma tiada tindakan tegas diambil.

"Jadi kali ini, jika berlaku (penjualan dan minum), polis tidak akan tolak ansur, mereka akan ditangkap terus dan dibawa ke mahkamah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Thaipusam 2025 peringkat negeri Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Sivanesan berkata, larangan tersebut adalah kali pertama dilaksanakan di negeri ini sepanjang sambutan perayaan Thaipusam diraikan.

"Saya harap perkara ini tidak berlakulah. Kita ada tempatkan anggota CID (Jabatan Penyiasatan Jenayah) bagi memantau perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata, dianggarkan 350,000 pengunjung termasuk penganut Hindu bakal membanjiri Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini.

Katanya, beberapa penambahbaikan telah dilakukan bagi mengurangkan kesesakan dan kelancaran trafik antaranya penutupan jalan dan had pemasangan khemah jualan.

"Tahun ini hanya jalan-jalan tertentu sahaja yang dilalui chariot (pedati) akan ditutup dan anggota trafik ada ditempatkan di situ bagi mengawal lalu lintas.

"Bagi khemah jualan yang tiada kebenaran MBI (Majlis Bandaraya Ipoh), tindakan kompaun dan rampas akan dikenakan," katanya.