SANDAKAN - Kegiatan penyeludupan manusia menggunakan kapal tunda berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah dalam pemeriksaan Op Taring Landai Khas Kontraban di perairan Pulau Berhala, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, dipercayai seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara dua hingga 64 tahun ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, tangkapan itu berjaya dibuat susulan sepasukan anggotanya yang sedang menjalankan tugas operasi tersebut telah mengesan pergerakan sebuah kapal tunda dan dua bot laju dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota kemudian bertindak pantas bergerak menghala ke lokasi dan berjaya menahan kapal tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot laju tersebut dalam proses memindahkan penumpang lima wanita dan tujuh lelaki yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dari kapal tunda berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya lagi, susulan daripada itu, kesemua individu tersebut ditahan dan kapal tunda bersama bot laju turut dirampas serta dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan.
"Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) (Pindaan) 2022 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.