Ibu kanser payudara harap anak bantu urus rumah

Iklan
Muhammad Badrul Amin (kiri) ) dan Muhammad Badrul Muhayat (kanan) membantu menguruskan rumah selepas ibu mereka disahkan hidap kanser payudara pada tahun lalu.

KUALA KEDAH - Seorang ibu tunggal yang menghidap kanser payudara bergantung harap kepada dua anak lelakinya untuk menguruskan kerja rumah selepas dia mendapat rawatan di hospital.

Roshidah Mohd Saad, 41, yang turut dikesan menghidap penyakit hati, tiroid serta jangkitan paru-paru sejak tahun lalu tidak mampu untuk melakukan kerja berat seperti biasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali selepas kemoterapi, kesihatannya lemah dan kerap demam menyebabkan dia terpaksa bergantung pada dua anaknya iaitu Muhammad Badrul Amin Mohd Hesham, 15, dan Muhammad Badrul Muhayat, 12 menyediakan makan minum serta kerja rumah.

"Pada November tahun lalu, saya dapati terdapat benjolan di bawah ketiak di bahagian kiri payudara menyebabkan risau sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Iklan

"Semasa menjalani ujian imbasan dan biopsi hasilnya mendapati benjolan itu agak besar seperti bola golf," katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, dekat sini pada Rabu.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malanysia (CSM), Zuraini Kamal yang turun menghulurkan sumbangan barangan dapur dan wang tunai bagi meringankan bebannya.

Iklan

Zuraini (kiri) melihat ubat yang perlu diambil oleh Roshidah semasa menemuinya pada Rabu.

Katanya, doktor menjelaskan pembedahan tidak dapat dilaksanakan berikutan benjolan itu membesar sehingga lima sentimeter (cm) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi dengan segera.

"Setakat ini saya telah menjalani tiga kali pusingan kemoterapi dan ada baki tiga kali lagi namun benjolan itu sudah mula mengecut," ujarnya.

Roshidah terpaksa mengharapkan bantuan kakaknya menghantar ke hospital tiga kali dalam sebulan dengan menaiki kereta kerana tidak mempunyai kenderaan.

Lebih menyedihkan, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk dia keluar bekerja dan kini bergantung kepada bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300.

"Wang zakat ini saya guna sebaik mungkin untuk makan minum, persekolahan anak-anak dan juga kos rawatan hospital.

"Sekarang saya masih berhutang dengan pihak hospital RM150 kerana tidak mampu membayar rawatan kemoterapi namun saya akan bayar selepas ada duit nanti," jelasnya.

Tambahnya, bil rawatan hospitalnya sebelum ini pernah mencecah RM1,000 namun dia memohon untuk membayarnya secara ansuran.

Sementara itu, Muhammad Badrul Amin berkata, dia dan adiknya akan membantu meringankan beban ibu mereka yang kini masih dalam proses rawatan kemoterapi.

"Sebelum ke sekolah, saya akan basuh pinggan, bancuh susu dan sedia makanan untuk emak agar dia dapat berehat.

"Pada sebelah malam, saya cuci pakaian siap-siap dan jemur pada awal pagi sebelum ke sekolah. Adik pula bantu kemas rumah," ujarnya yang mahu belajar bersungguh-sungguh dan berbakti kepada keluarganya.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan kepada Roshidah yang masih dalam rawatan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02501-41-70004545-5 atas nama Roshidah Mohd Saad.