SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial, Kim Seri akan membuat laporan polis sekiranya pihaknya menerima ugutan melibatkan anak-anak, keluarga serta individu di sekelilingnya daripada kalangan orang tidak bertanggungjawab.
Kim Seri menerusi laman Instagram berkata, dia tidak akan berdiam diri dan menegaskan enggan bersembunyi di sebalik ketakutan terhadap pelbagai ugutan.
"Mulai hari ini, saya tidak akan berdiam diri lagi. Saya salah, tetapi kesalahan itu akan saya tanggung sendiri.
"Sekiranya ada ugutan terhadap anak-anak, keluarga, mana-mana komen melibatkan orang yang tidak bersalah di sekeliling saya... Nak serang mak dan adik beradik saya, nak culik dan ‘dera’ anak-anak saya, saya akan tangkap layar dan buat laporan polis.
"Sekali lagi saya katakan, saya tidak pernah lari untuk bayar dan cuba sedaya upaya walaupun orang kata saya ‘scammer’. Saya akan buktikan saya akan bayar balik,” katanya pada Rabu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan itu dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf turut mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan terbabit.
Kim Seri turut menjelaskan, beberapa hantaran peribadinya yang dimuat naik seolah-olah kelihatan tenang telah menyebabkan ramai pihak salah anggap dirinya tiada perasaan bersalah terhadap perkara berlaku.
"Memang saya selalu memuat naik hantaran positif, saya tak nak tunjuk perkara negatif.
"Ini untuk menenangkan dan menasihatkan hati sendiri supaya saya hadapi semua ujian dengan tidak putus asa. Setiap hari saya nasihatkan diri ‘tolong Kim Seri, jangan putus asa’,” katanya.