SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) disaran mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan aksesibiliti pengangkutan awam termasuk sektor penerbangan agar lebih mesra dan inklusif terhadap komuniti autisme.
Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata, Malaysia perlu mencontohi kejayaan Emirates yang bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia memperoleh Sijil Autisme dari Lembaga Piawaian Pendidikan Berterusan dan Pengiktirafan Antarabangsa (IBCCES).
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memperbaiki pengalaman perjalanan bagi komuniti autisme, namun menggambarkan kesungguhan Emirates dalam menyediakan perkhidmatan lebih mesra pengguna.
"MTOS percaya langkah begini wajar dicontohi oleh sektor pengangkutan di Malaysia, ia penting bagi MOT kerana pengiktirafan bahawa setiap individu mempunyai keperluan berbeza.
"Di Malaysia, ribuan individu mempunyai spektrum autism menghadapi cabaran besar menggunakan pengangkutan awam akibat kekurangan kemudahan dan perkhidmatan bersesuaian yang bukan sahaja membatasi kebebasan pergerakan mereka.
"Tetapi, memberi tekanan kepada ibu bapa dan penjaga yang terpaksa memilih untuk tidak menggunakan pengangkutan awam. Situasi ini secara tidak langsung mengehadkan peluang kehidupan yang sepatutnya mereka nikmati," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini dilaporkan, Emirates bakal dianugerahkan pensijilan itu dalam beberapa bulan akan datang selepas lebih 30,000 kakitangan syarikat tersebut selesai menjalani latihan baharu yang tertumpu mengenai autisme dan sensitiviti deria.
Di bawah latihan itu, kakitangan syarikat penerbangan tersebut akan dilengkapi dengan pemahaman serta kemahiran untuk menangani keperluan penumpang autisme dan sensitiviti deria, serta keluarga mereka.
Mengulas lanjut, Danial Al-Rashid berkata, pihaknya turut mencadangkan agar Malaysia Airlines (MAS) dan lapangan terbang seluruh negara menyediakan latihan khusus kepada kakitangan mengenai autisme.
"Termasuk menyediakan alat sokongan seperti mainan fidget, panduan deria dan alat digital yang boleh membantu individu autisme menyesuaikan diri dalam persekitaran mencabar seperti lapangan terbang serta pesawat.
"Dengan inisiatif ini, Malaysia dapat menjadi peneraju di rantau ASEAN dalam menyediakan pengangkutan awam yang lebih inklusif dan mesra autisme.
"Usaha memperbaiki aksesibiliti ini tidak terhad kepada sektor penerbangan sahaja tetapi perlu diperluaskan kepada perkhidmatan pengangkutan darat seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," ujarnya.
Tambah Danial Al-Rashid, MTOS bersedia bekerjasama untuk membangunkan latihan dan sokongan yang diperlukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan demi kesejahteraan serta aksesibiliti lebih baik untuk semua lapisan masyarakat.
"Kami berharap agar cadangan ini dipertimbangkan dengan serius oleh MOT dan segera dilaksanakan," katanya lagi.