JSJN Johor lumpuh 25 sindiket dadah skala besar tahun lalu

Iklan
Antara operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor sepanjang 2024. Foto: JSJN Johor

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ini berjaya melumpuhkan 25 sindiket pengedaran dadah skala besar dengan menangkap 99 ahli sindiket sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pelbagai aset sindiket berjaya disita dengan nilai RM17.23 juta dan antara kejayaan terbesar adalah rampasan dadah serta sitaan bernilai RM12,628,311 menerusi Op Jaring 12 pada 29 Mei.

Iklan
Iklan

"JSJN Johor turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tangkapan 14 orang melibatkan warganegara asing.

"Pada masa sama, JSJN Johor juga mencatatkan pencapaian ketiga tertinggi di Malaysia membabitkan pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan 7.30 tan dadah bernilai RM99.76 juta.

Iklan

"Kejayaan itu dicapai menerusi 21,093 serbuan melibatkan pemeriksaan terhadap 46,878 orang dan 25,065 daripadanya ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 3,653,081 penagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, JSJN Johor juga melakar sejarah dengan rampasan terbesar bagi 2024 dengan menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan melalui Op Jaring 23 pada 15 Oktober dengan nilai rampasan dan sitaan RM28,581,152 termasuk penangkapan tujuh ahli sindiket.

Ujarnya, bagi kes penagih berulang iaitu tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berakhir 31 Disember pula, seramai 739 orang berjaya ditangkap dan ia merupakan tangkapan keempat tertinggi di Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman dengan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun tetapi tidak melebihi tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan dengan hukuman sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

"Bagi tindakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985 seramai 139 orang ditangkap dan merupakan pencapaian kedua tertinggi antara kontinjen lain di Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan perintah tahanan di mana-mana pusat pemulihan akhlak selama dua tahun dibawah Seksyen 6(1) Akta yang sama atau dikenakan perintah sekatan selama dua tahun dan perlu melaporkan diri di Balai Polis berhampiran,” jelasnya.

Menurut M Kumar, secara keseluruhannya, JSJN Johor berjaya mencapai semua KPI yang ditetapkan bagi 2024.

Ujarnya, Polis Johor berharap agar masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling.