Bapa tunggal buntu fikir nasib anak derita usus terkeluar

Iklan
Mat No menunjukkan beg stoma yang perlu dipakai oleh Mohd Adam. Foto ihsan orang awam

JERANTUT - Seorang bapa tunggal, Mat Noh Mohamed, 55, di Felda Kota Gelanggi Empat di sini, buntu dan gusar dengan masa depan anaknya, Mohd Adam Mat Noh, 5 yang kini menanggung derita akibat sebahagian ususnya terkeluar terpaksa menggunakan beg stoma.

Menurutnya, anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami gangguan di bahagian usus perut dan dikesan sejak lahir apabila anggota dalamannya pendek serta tersumbat.

Iklan
Iklan

"Anak saya menderita sebahagian usus perutnya keluar dan bergantung dengan pemakaian beg stoma untuk membuang najis.

"Kini usianya sudah memasuki lima tahun dan dengan usia sebegini risau kalau keadaannya tidak berubah apabila memasuki alam persekolahan nanti," katanya di sini baru-baru ini.

Iklan

Ujarnya, keadaan kerosakan usus anaknya semakin ketara ketika berusia dua tahun apabila selepas makan langsung tidak dapat membuang najis melalui dubur.

"Bermula daripada masalah tersebut, anak saya menjalani pembedahan usus kali pertama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dua tahun lalu bagi membolehkan dia membuang najis.

Iklan

"Keadaannya tidak berubah menyebabkan anak perlu menjalani sekali lagi pembedahan tahun lalu dan kini perlu menggunakan beg stoma," jelasnya.

Mat Noh bersama anaknya, Mohd Adam. Foto ihsan orang awam

Mat Noh yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana tulang paha pendek belah kanan sejak kecil berkata, situasi itu menyebabkan Mohd Adam tidak selesa selain tidak mampu bergaul dan hidup aktif seperti kanak-kanak lain.

Tambahnya, buat masa sekarang dia sedang menunggu untuk dipanggil oleh pihak hospital untuk memasukkan semula usus ke dalam perut.

"Dengan keadaan saya yang perlu menjaga Mohd Adam dan anak sulung, Mohd Razak, 9, saya memang buntu memikirkan perbelanjaan dan kos rawatan memandangkan tidak memiliki pendapatan tetap, bekerja sebagai buruh, kalau ada kerja saya buat.

"Ini pun sudah banyak kali terlepas rawatan susulan anak kerana tidak cukup wang selain sudah tidak memiliki kenderaan sendiri yang sudah rosak," katanya lagi ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan.

Jelasnya, dengan duit bantuan tersebut, dia menggunakan sebaik mungkin untuk membeli beg stoma kegunaan Mohd Adam.

"Harganya sekarang hampir RM6 sekeping dan memerlukan dua tiga keping sehari untuk kegunaan anak.

"Memang tidak cukup dengan perbelanjaan harian lagi tapi saya sabar dengan ujian ini demi anak-anak," ujarnya lagi berharap nasib anaknya mendapat perhatian demi masa depannya.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0610541100045967 atas nama Mat Noh Mohamed.