SHAH ALAM - Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menyelar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa cuba merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja atas fitnah yang dilemparkan.
Menurut BBC, tindakan Hamzah yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja, berhubung Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah adalah satu fitnah jahat dan tidak berasas.
Menurutnya, fitnah tersebut bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
"Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata.
"Sepanjang pentadbiran, Anwar sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan. Segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut BBC, Anwar telah mengesahkan kewujudan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menjelaskan titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya.
"Beliau menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan bahawa urusan berkaitan Titah Adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.
"Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan," tegas BBC.
Tambahnya, tuduhan berkenaan adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik sendiri.
Katanya, tindakan itu juga adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.