KLUANG - Polis menahan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes simbah cat dan pecah cermin kereta di sebuah rumah di Kampung Tengah di sini, 31 Januari lalu hingga mengakibatkan seorang lelaki warga Singapura cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, suspek kedua daripada tiga lelaki itu disyaki terbabit dalam kejadian yang berlaku jam 5.30 pagi itu.
"Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek kedua iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun di tepi Jalan Tangkak, Taman Durian Tunggal, Melaka pada jam 2.30 pagi semalam (Selasa).
"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek juga mengaku diajak oleh seorang lagi suspek (yang masih bebas) untuk melakukan kerja simbah cat dan pecah cermin kereta di lokasi pada hari kejadian.
"Kedua-dua suspek turut mengesahkan bahawa mereka dijanjikan upah sebanyak RM5,000 setelah selesai melakukan ‘kerja’ berkenaan,” katanya.
Hasil semakan mendapati suspek kedua yang ditahan itu tidak bekerja dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta positif dadah jenis morphine.
Untuk rekod, polis telah menahan suspek pertama iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun sebelum menahan suspek kedua dan kini giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.
Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek ditetapkan esok untuk membantu proses siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.