Warga asing buka premis judi sendiri, lengkap ciri keselamatan

Iklan
Akses masuk ke premis pula dikawal menggunakan pintu besi bermagnet berkunci yang dikawal dari dalam.

KUALA LUMPUR - Berselindung di sebalik kawalan keselamatan ketat selain hanya membenarkan pelanggan yang dikenali sahaja antara taktik dibongkar dalam serbuan melibatkan premis perjudian didalangi warga asing di Pandan Jaya pada Sabtu.

Operasi khas dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu membawa kepada penahanan 15 warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 12.01 tengah malam itu dilaksanakan di empat lokasi oleh sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Antara individu warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.

"Pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang perempuan warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang.

Iklan

"Turut ditahan tiga lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga India dan enam perempuan warga Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan itu adalah menjalankan perjudian secara tertutup dengan menyediakan pelbagai jenis permainan berunsurkan perjudian kepada pelanggan.

Antara individu warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan pada Sabtu.

"Premis berkenaan turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pelanggan serta kehadiran pihak berkuasa.

"Akses masuk ke premis pula dikawal menggunakan pintu besi bermagnet berkunci yang dikawal dari dalam,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Dalam operasi itu, pihaknya turut menyita tujuh naskhah pasport Indonesia, 31 unit tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

Zakaria berkata, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang perempuan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Empat perempuan warga Indonesia pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi perempuan warga Indonesia disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Warga asing lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ujarnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

"Lima lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

"JIM akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.