Amerika mahu ambil alih Semenanjung Gaza - Trump

Iklan
Trump mendakwa rakyat Palestin 'tidak akan mahu kembali ke Gaza' sekiranya mereka ditempatkan di rumah yang selesa serta selamat daripada ancaman maut. Foto AFP

WASHINGTON - [DIKEMAS KINI] Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan satu visi untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Timur Tengah'.

"Riviera Timur Tengah. Ini boleh menjadi sesuatu yang sangat luar biasa," kata Trump dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Iklan
Iklan

Trump mendakwa semua orang yang membincangkan isu Gaza menyukai idea AS memiliki tanah itu, membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan dengan sesuatu yang akan menjadi luar biasa.

"Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom tidak meletup dan senjata berbahaya di kawasan itu.

Iklan

"Meratakan kawasan itu, menghapuskan bangunan yang musnah, mencipta pembangunan ekonomi dan perumahan tanpa had kepada penduduk di kawasan itu, melakukan sesuatu yang sebenar, sesuatu yang berbeza,” katanya.

Sehubungan itu Trump, mencadangkan penempatan semula secara kekal rakyat Palestin dari Gaza yang musnah akibat perang ke negara-negara jiran.

Iklan

Trump sekali lagi menyeru Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza, dengan alasan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan konflik dahsyat antara Israel dan kumpulan Hamas.

Namun kali ini, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal, berbanding saranannya sebelum ini yang telah ditolak tegas oleh pemimpin-pemimpin Arab.

Hamas menganggap cadangan Trump untuk memindahkan rakyat Palestin sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan rakyat Gaza tidak akan membiarkannya berlaku. Foto AFP.

"Jika kita dapat mencari tanah yang sesuai dan membina tempat tinggal yang cantik untuk mereka dengan dana yang mencukupi, itu pasti lebih baik daripada mereka kembali ke Gaza," kata Trump.

Beliau mendakwa rakyat Palestin 'tidak akan mahu kembali ke Gaza' sekiranya mereka ditempatkan di rumah yang selesa serta selamat daripada ancaman maut.

Trump menggambarkan Gaza sebagai 'simbol kematian dan kehancuran' serta berpendapat penduduk Palestin perlu dipindahkan ke pelbagai kawasan di negara lain.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat.

Pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri mengecam saranan Trump dengan menyatakan ia cubaan pengusiran rakyat dari tanah mereka.

"Kami menganggap cadangan ini sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkannya berlaku,” katanya.

Cadangan Trump juga mendapat kritikan dari kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai usaha pembersihan etnik dan berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.

Pertemuan antara Trump dan Netanyahu di White House hari ini turut membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi yang diharapkan dapat dicapai pada masa akan datang. Agensi/Awani