KUALA LUMPUR – Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa kerajaan memperketat penguatkuasaan terhadap penyedia penginapan jangka masa pendek (STRA) yang menggaji pekerja asing secara tidak sah dan melanggar peraturan buruh.
MyBHA dalam kenyataan memaklumkan kewujudan STRA yang tidak berdaftar mengakibatkan ketidakadilan dalam sektor hospitaliti, selain menjejaskan kutipan hasil negara dan aspek keselamatan pengguna.
"Kebanyakan STRA juga tidak membayar cukai dan gagal mematuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan.
"Walaupun kerajaan telah mengumumkan pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus bagi pekerja asing sebagai langkah membantu sektor perniagaan, MyBHA menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak menyalahgunakan kelonggaran ini untuk mengurangkan kos secara tidak sah.
"MyBHA mahu pihak berkuasa bertindak terhadap penginapan jangka pendek yang tidak berlesen dan menggaji pekerja tanpa dokumentasi sah. Keadaan ini bukan sahaja merugikan pengusaha hotel berdaftar tetapi turut mengancam keselamatan pelancong serta pendapatan negara,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Bagi mengatasi isu ini, MyBHA berharap kerajaan perlu melakukan pemantauan digital dengan sistem teknologi perlu dimanfaatkan untuk menjejaki operasi STRA di platform dalam talian yang menjadi saluran utama promosi mereka.
"Kerjasama strategik Jabatan Imigresen Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan perlu berganding bahu memperketat pengawasan terhadap aktiviti tidak sah ini,” katanya.
Tambahnya, kesedaran masyarakat kempen penerangan perlu diperkasakan bagi memberi kefahaman kepada pengguna mengenai risiko penginapan tidak berlesen terhadap keselamatan dan ekonomi negara.