JAKARTA - Sebanyak 30 pegawai imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dipecat selepas mereka didapati memeras ugut warga China sepanjang 2024 hingga awal 2025.
Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan (Menimpas), Agus Andrianto berkata, tindakan yang diambil pihaknya itu merupakan sebahagian daripada proses siasatan.
Iklan
Iklan
"Daripada siasatan awal, terdapat beberapa pegawai yang melakukan peras ugut lebih daripada sekali. Ada dua atau tiga tindakan berkenaan dilakukan, dan kesemuanya masih dalam siasatan," katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Sebelum ini, beredar surat rasmi dari Kedutaan Besar China di Indonesia bertarikh 21 Januari 2025, yang ditujukan kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia, mengenai insiden kes peras ugut warga China yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Kedutaan China berkata, mereka telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 44 kes peras ugut, dengan jumlah sekitar Rupiah 32,750,000 (RM8,937) dikembalikan kepada lebih 60 warganya.
Selain itu, Kedutaan China berharap papan tanda bertulis 'larangan memberi tip' dan 'sila laporkan kes peras ugut' dalam bahasa Indonesia, Mandarin dan Inggeris dapat dipasang di pusat pemeriksaan imigresen bagi membanteras masalah ini daripada berulang di lapangan terbang. - Agensi
Artikel Berkaitan