BANGI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan penambahan lebih 1,000 orang jurulatih berkemahiran bagi memenuhi program latihan kepada 75,000 pelatih tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, langkah itu penting dalam usaha mencapai sasaran seramai 150,000 pelatih dalam tempoh dua tahun yang disarankan Timbalan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Beliau berkata, APM ketika ini memiliki 2,107 jurulatih berkemahiran tinggi yang mampu melatih kira-kira 33,000 pelatih secara kondusif setiap tahun.
Namun kata beliau, Timbalan Perdana Menteri menyarankan sasaran baharu latihan kepada 150,000 pelatih dalam tempoh dua tahun iaitu 75,000 orang setahun bermula tahun ini.
"Dengan pendekatan baharu yang perlu dilaksanakan, kita harus meningkatkan bilangan Jurulatih Plus serta memperkukuh institusi latihan.
"Sasaran kita adalah untuk menambah 1,000 jurulatih baharu, bukan sekadar meningkatkan jumlah jurulatih tetapi juga bertujuan memperkasakan ekosistem kejurulatihan dalam pertahanan awam,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Sasaran 1,000 Jurulatih APM di Akademi Latihan Pertahanan Awam (Alpha), di sini.
Hadir sana Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid.
Aminurrahim berkata, bagi memastikan kemahiran anggota dan pegawai APM pada tahap optimum, pihaknya memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memastikan kesiapsagaan warga APM.
"Latihan tambahan turut disediakan kepada anggota APM sedia ada membabitkan 1,000 slot setakat ini dengan sasaran dipertingkatkan kepada 3,000 slot latihan pada masa hadapan.
"Selain itu, APM turut melaksanakan inisiatif APM@Gig yang membenarkan petugas melakukan tugasan di luar aktiviti rasmi mereka untuk pendapatan tambahan," katanya.
Jelas beliau, menerusi pendekatan berkenaan, anggota APM bukan sahaja dapat mengekalkan kemahiran pertahanan awam, tetapi juga mempraktikkannya dalam kerja-kerja ekonomi gig.
"Contohnya, membantu menebang pokok berbahaya, 'standby medic' serta kerja-kerja pembersihan rumah yang berisiko ketika tidak bertugas," ujarnya.