KEMAJUAN teknologi yang diaplikasikan dalam e-dagang memudahkan urusan orang ramai membeli barangan secara dalam talian pada masa kini.
Namun, dengan kepesatan perniagaan dalam talian, telah membuka peluang kepada scammer melakukan jenayah.
Sikap sambil lewa dan tidak berhati-hati semasa membeli barangan dalam talian menyebabkan ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian itu.
Kes penipuan selalunya berlaku apabila mangsa diperdaya oleh scammer dengan pelbagai helah, antaranya mengiklankan barangan di laman sosial dengan tawaran harga lebih rendah daripada harga pasaran atau too good to be true.
Kemahuan yang tinggi dan terdesak untuk memiliki sesuatu barang menyebabkan mangsa tidak berfikir panjang sehingga tidak sedar mereka sedang diperdaya.
Permintaan tinggi terhadap sesuatu barangan juga menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan.
Mangsa akan diminta membuat bayaran segera ke akaun bank yang diberikan oleh scammer dan hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima barang dibeli atau gagal menghubungi penipu.
Taktik lain yang digunakan oleh scammer adalah dengan menggunakan akaun dan gambar profil milik orang lain.
Selain itu, scammer turut ‘menutup’ ruangan komen supaya mangsa tidak dapat membuat komen pada akaun tersebut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mendedahkan RM62 juta nilai kerugian direkodkan akibat penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, angka itu dijangka terus meningkat selaras pertambahan platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masa kini.
Penipuan berpunca daripada iklan melalui laman Facebook mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,457 kes, diikuti WhatsApp sebanyak 1,168 kes.
TikTok turut mencatatkan sebanyak 800 kes, diikuti aplikasi Telegram (771 kes) menjadikan jumlah keseluruhan penipuan direkodkan sebanyak 6,909 kes.
Menurut Ramli, sebagai langkah pencegahan, pembeli diingatkan mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan kegiatan penipuan semasa musim perayaan.
Jelas beliau, scammer cenderung memanfaatkan situasi seperti pe-rayaan untuk memperdaya mangsa, khususnya golongan warga emas.
Menurutnya, penipu siber biasanya cekap membaca trend dalam kalangan pengguna.
Justeru, orang ramai dinasihatkan menyimpan segala bukti rekod urus niaga termasuk resit pemindahan wang dan lain-lain.
Mangsa boleh membuat aduan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta laporan di balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, PDRM turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian dengan membuat semakan akaun atau aplikasi, selain tidak membenarkan individu lain mengakses maklumat perbankan.
Buat pembelian melalui platform rasmi dan penjual yang dipercayai. Ulasan dan reputasi penjual perlu diselidik sebelum sebarang transaksi dilakukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan
Pautan mencurigakan juga harus dielakkan dan pengguna dinasihatkan mengakses laman web secara langsung, bukan melalui pautan yang tidak dikenali.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule.
Jika penjual ada memaparkan nama atau nombor pendaftaran perniagaan syarikat, orang ramai boleh menyemaknya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sentiasalah berhati-hati dan berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk membeli-belah dalam talian.
Langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan transaksi dan mengelak kerugian akibat penipuan.
* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah