Kerajaan dicadang naikkan harga lantai belian padi, beras tempatan

Iklan
Dr Azman

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menggesa supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang padi bumiputera yang bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak beberapa tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring dengan peningkatan kos pengeluaran sekarang serta harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3 per kilogram (kg).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu bagi melindungi pengilang bumiputera yang menanggung kerugian susulan harga belian padi tinggi di sebalik harga beras pula masih rendah.

"Isu tersebut (pengilang bumiputera alami kerugian) berlaku kerana kerajaan hanya tentukan harga lantai padi RM1,300 per tan tetapi harga siling tidak ditetapkan.

Iklan

"Ini bermakna pengilang hanya disyaratkan beli padi tidak kurang daripada harga minimum RM1,300 dan terpulanglah nak beli berapa mahal sekalipun, ia dibenarkan.

"Harga beras tempatan kekal RM2.60 per kilogram (kg) manakala harga beras import pula tidak dikawal," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, dalam persaingan bagi mendapatkan bekalan padi, kilang-kilang bukan bumiputera menawarkan harga belian padi yang tinggi sehingga mencecah RM2,000 per tan.

"Dengan harga belian padi ini, beras tidak akan mampu dijual dengan harga RM2.60 per kg. Maka bagaimana kilang nak untung?

"Apabila beli padi dengan harga tinggi, kilang-kilang tersebut mendapatkan keuntungan dengan cara menjenamakan beras tempatan keluaran mereka sebagai beras import sama ada dengan mencampurkan beras import atau memang beras tempatan sepenuhnya tetapi dilabelkan sebagai import.

"Oleh itu, mereka (pengilang bukan bumiputera) boleh jual dengan harga tinggi tanpa kawalan," dakwanya.

Justeru, Dr Azman berkata, kilang-kilang bumiputera yang berlaku jujur akan tersepit akibat harga belian padi tinggi.

"Kalau mereka (pengilang bumiputera) beli padi dengan harga rendah maka mereka tak akan dapat bekalan padi. Jadi untuk bersaing dengan kilang-kilang besar bukan bumiputera, mereka juga perlu menawarkan harga belian padi yang tinggi.

"Tetapi beras tempatan keluaran mereka perlu dijual dengan harga kawalan RM2.60 per kg yang sudah tentu akan merugikan," ujarnya.

Susulan itu, Dr Azman berkata, kerajaan Terengganu mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring dengan peningkatan kos pengeluaran sekarang.

"Harga lantai sekitar RM1,500 hingga RM1,800 adalah munasabah. Pada masa sama, harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu perlu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3 per kg.

"Ia lebih baik dari situasi sekarang di mana beras tempatan dijenamakan sebagai beras import dan dijual melebihi RM4 per kg.

"Kerajaan Pusat khususnya KPKM perlu ambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera," jelas beliau.

Sebelum ini sebuah media tempatan melaporkan kilang padi bumiputera terbesar di Perlis yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kilang Dibuk Sdn Bhd yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis bagi menjual hasil tuaian mereka sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi di sebalik harga beras masih rendah.

Beras tempatan masih kekal pada harga RM26 bagi 10 kilogram yang tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu iaitu harga belian padi sekitar RM950 per tan metrik ketika itu.

Lonjakan harga belian padi itu juga berikutan daripada persaingan oleh pengilang-pengilang besar bukan bumiputera yang turut menguasai pasaran beras borong bagi mendapatkan bekalan padi.