SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor akan memastikan semua warga asing yang menjalankan perniagaan mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat rungutan penduduk tentang kebanjiran warga asing yang menjalankan perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan kerajaan pada masa ini memastikan mereka mematuhi syarat pemilikan lesen dan pengoperasian perniagaan yang sah.
"Kerajaan Selangor telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk semua aspek ini dan sudah pasti kita akan cuba pastikan bermula dengan kepatuhan pemilikan lesen dan perniagaan itu dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Negeri Selangor di Dewan Seri Sekinchan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Amirudin memberitahu, sekiranya pekerja warga asing yang diambil bekerja dan menjalankan perniagaan memiliki permit sah, mereka tiada masalah untuk berkhidmat di negara ini.
"Kena ikut peraturan dan kalau dibenarkan pekerja warga asing berpermit, ia tak ada masalah," jelas beliau.
Mengambil contoh di Pasar Borong Selayang, Amirudin menjelaskan, pada awalnya, usaha dilakukan untuk mengurangkan kebanjiran warga asing.
"Dulu keperluannya kita bersihkan warga asing, tapi selepas itu hanya bertahan berapa bulan dan (mereka) kembali semula.
"Jadi kita kena tengok practicality, namun kita akan pastikan kepatuhan itu diberi keutamaan terlebih dahulu," jelas beliau.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, usahawan tempatan diminta mengambil peluang mengisi kekosongan perniagaan ditinggalkan warga asing selepas tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka yang melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingan berkata, rakyat tempatan perlu tampil sebagai usahawan baharu atau menjadi pembantu kedai supaya terus mengembangkan perniagaan bagi memenuhi kehendak penduduk setempat.