DAMSYIK - Sepuluh orang terbunuh dalam serangan oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali di sebuah perkampungan majoriti Alawite di tengah Syria, lapor Xinhua yang memetik pemerhati perang berpangkalan di Britain.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), penyerang mengetuk pintu rumah di perkampungan Arza, wilayah Hama pada malam Jumaat sebelum menembak penduduk dari jarak dekat menggunakan senjata api dengan penyerap bunyi.
Penyerang melarikan diri dari tempat kejadian dan identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden itu.
SOHR menyatakan bahawa pembunuhan terbaru itu adalah sebahagian daripada gelombang serangan balas yang semakin meningkat di seluruh negara, yang boleh menjejaskan lagi kestabilan hubungan antara kaum di Syria selepas perang.
Sejak awal 2025, SOHR telah merekodkan sekurang-kurangnya 105 insiden serupa yang mengorbankan lebih 200 nyawa, termasuk lima wanita dan seorang kanak-kanak.
Serangan di Arza menyerlahkan kebimbangan berterusan terhadap isu keselamatan ketika pentadbiran baharu Syria berusaha mengukuhkan kawalan dan mengelakkan pergolakan keganasan mazhab selepas kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024. - Bernama-Xinhua