Teknologi AI, blockchain mampu ramal cegah rasuah

Iklan
Teknologi AI dan blockchain mampu ramal risiko rasuah sebelum berlaku. (Gambar kecil: Hakim Hafizi.)

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ‘blockchain’ untuk membanteras rasuah wajar kerana ia mampu menganalisis corak transaksi mencurigakan, mengenal pasti ketakwajaran dalam perolehan serta meramal risiko rasuah sebelum berlaku.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, teknologi tersebut akan bertindak sebagai ‘pengawas digital tanpa kompromi’ dalam membanteras jenayah tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya berpendapat penggunaannya bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam sektor awam serta swasta.

"AI mampu menganalisis corak transaksi yang mencurigakan dengan lebih pantas dan berkesan berbanding kaedah konvensional, manakala teknologi blockchain memastikan rekod kewangan tidak boleh dimanipulasi, sekali gus menghapuskan ruang untuk penyelewengan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, AI dan 'blockchain' perlu digunakan dalam usaha membanteras rasuah selain membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kemahiran menggunakan teknologi semasa amat penting bagi membanteras jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Iklan

Dalam pada itu, Hakim Hafizi berkata, ‘blockchain’ pula berfungsi sebagai lejar digital yang tidak boleh diubah dan memastikan ketelusan penuh dalam setiap transaksi kewangan serta perolehan.

"Bayangkan setiap sen yang dibelanjakan kerajaan direkod dalam blockchain, boleh diakses secara terbuka dan diaudit oleh rakyat, rasuah tidak lagi mempunyai tempat untuk bersembunyi.

"Pendekatan ini bukan sekadar memperbaiki sistem sedia ada, tetapi menghapuskan terus ruang untuk korupsi berlaku. Jika dilaksanakan dengan tegas, Malaysia boleh menjadi peneraju dalam pentadbiran digital yang bersih dan berintegriti,” ujarnya.

Beliau juga berpendapat, penggunaan teknologi tersebut dalam negara masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Jelasnya, walaupun terdapat inisiatif kerajaan dan sektor swasta untuk mengadaptasikan AI, penggunaannya masih terhad kepada automasi asas serta bukan sebagai alat transformasi yang sebenar.

"Jika kita ingin maju, AI perlu dilepaskan daripada kekangan tradisional dan digunakan untuk membuat keputusan strategik, membanteras rasuah, mengurus perkhidmatan awam dengan lebih cekap serta membuka jalan kepada ekonomi pintar yang lebih berdaya saing.

"Jika teknologi ini diterapkan tanpa kompromi, Malaysia boleh mencapai pentadbiran bebas rasuah yang cekap dan telus,” katanya.