BANTING - Seorang lelaki warga emas maut akibat dilanggar kereta melintas jalan raya di Kilometer 17.1 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian 7.45 pagi itu, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC, kereta jenis Perodua Alza serta seorang pejalan kaki berusia 70-an.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Klang menghala ke Banting tidak sempat mengelak warga emas yang sedang melintas jalan.
"Akibat pelanggaran itu, pejalan kaki jatuh di lorong kanan jalan raya dan datang sebuah kereta dari arah sama yang tidak sempat mengelak, lalu melanggar pejalan kaki tersebut.
"Mangsa mengalami cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Hospital Banting," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata beliau, penunggang motosikal berusia 30-an yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Sementara itu katanya, pemandu kereta yang juga lelaki tempatan berusia 30-an tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, pemandu kereta telah hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor S Taneswaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222," ujarnya.