SHAH ALAM - Dua lelaki yang direkrut sebagai keldai dadah dengan bayaran RM600 sekilogram bagi menyeludup barang terlarang itu ke Miri, Sarawak dicekup ketika sedang membawa bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.
Kedua-dua suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA kira-kira jam 5.30 petang, pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua bagasi yang dirampas mengandungi 30 bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 30.3 kilogram (kg) bernilai RM967,000.
"Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sarawak itu pertama kali datang ke semenanjung.
"Suspek telah dibawa oleh sindiket ke sebuah apartment di Kota Warisan, Sepang selama empat hari sebelum diberikan bagasi berisi dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat.
Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 25 dan 18 tahun masing-masing memiliki empat dan satu rekod lampau.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun diberkas oleh sepasukan Polis Bantuan KLIA Terminal 1, pada 24 Januari lalu, dengan rampasan 31 kg dadah jenis ganja bernilai RM96,000 yang disorokkan dalam dua beg bagasinya.
Tambah Hussein, suspek merupakan pengawal keselamatan di syarikat luar negara dipercayai tiba dari London pada 16 Januari lalu.
"Bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari dalam negara untuk pasaran luar negara," katanya.
Tegasnya, kesemua suspek yang ditahan ini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.