MADRID - Enam orang cedera dalam satu letupan di sebuah kilang peluru milik anak syarikat pengeluar senjata Jerman, Rheinmetall di tenggara Sepanyol, lapor agensi berita Jerman dpa.
Letupan berlaku di depoh Rheinmetall Expal Munitions di Javalí Viejo, di wilayah Murcia, kata perkhidmatan kecemasan Sepanyol pada Khamis. Seorang daripada mangsa mengalami kecederaan parah.
Syarikat itu masih belum mengeluarkan kenyataan dan punca letupan tidak jelas.
Lelaki yang cedera, berusia antara 30 dan 52, mengalami kecederaan di kepala, melecur dan terhidu asap, lapor agensi berita Sepanyol Europa Press memetik pihak berkuasa.
Lima daripada mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.
Letupan itu turut mencetuskan kebakaran hutan di kawasan perindustrian yang merebak di kawasan seluas 2,000 meter persegi sebelum dipadamkan.
Menurut pengeluar senjata Jerman, Rheinmetall Expal Munitions ialah"pengeluar peluru dan persenjataan terkenal di dunia" khusus dalam peluru artileri, mortar dan peluru berkaliber sederhana, serta fuze dan sistem pendorong roket.
Anak syarikat milik penuh Rheinmetall mengendalikan tujuh tapak di Sepanyol dan Amerika Syarikat, membekalkan lebih 60 negara.
Ukraine kini merupakan pelanggan utama peluru daripada Kumpulan Rheinmetall. - Bernama-dpa