Tidak mustahil Amanah menang berbelas kerusi DUN di Kelantan

Iklan
Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara yang diadakan pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

PILIHAN Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjadi penentu sama ada impian Parti Amanah Negara (Amanah) menang berbelas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dapat direalisasikan atau sebaliknya.

Ini kerana rekod menunjukkan koalisi Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) hanya menang dua kerusi iaitu DUN Kota Lama dan Galas, manakala selebihnya dikuasai Pas yang memenangi 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sewaktu Pilihan Raya Negeri Kelantan tahun 2023.

Iklan
Iklan

Keputusan berkenaan menunjukkan Pas masih sukar digugat dan kekal mendominasi sebahagian besar kerusi DUN susulan mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu dan golongan muda di Kelantan.

Justeru, keyakinan dilaungkan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini bahawa parti berkenaan mampu menang berbelas kerusi DUN di Kelantan dalam PRU16 dilihat sukar diterjemahkan kepada realiti biar pun hasrat terbabit bukan mustahil.

Iklan
Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara yang diadakan pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mungkin optimis mampu merealisasikan 'misi mustahil' itu berdasarkan perkembangan politik semasa dan kerjasama erat mereka dengan UMNO selepas menjadi sebahagian Kerajaan Madani di Putrajaya.

Mat Sabu juga menjelaskan punca utama gabungan PH-BN kalah banyak kerusi semasa PRU15 dan PRN lalu adalah disebabkan majoriti pengundi Melayu dan anak muda menolak koalisi terbabit.

Iklan

Ahli Parlimen Kota Raja itu bagaimanapun menegaskan situasinya sudah berubah sekarang dengan satu gelombang penolakan besar-besaran dalam kalangan pengundi semasa PRU16 nanti terhadap Pas dijangka bakal tercetus.

Namun, perjalanan politik bagi Amanah dan UMNO untuk mengubah tradisi Kelantan yang terus menjadi kubu kuat Pas sejak lebih 30 tahun lalu hakikat masih berlaku.

Justeru, jika Amanah mahu menang berbelas kerusi di Kelantan pada PRU16 kelak, mereka perlu merangka strategi ampuh supaya kehadiran parti itu dirasai pengundi pelbagai peringkat.

Amanah juga wajib memperjuangkan isu kebajikan rakyat seperti tuntutan royalti minyak, masalah bekalan air, banjir, pembalakan haram dan perlombongan sekiranya mereka mahu mencongak peluang menawan kembali negeri berkenaan bersama UMNO.

Sudah pasti jentera di peringkat akar umbi amat penting untuk diperkukuhkan parti serpihan Pas berkenaan bagi meningkatkan pengaruh politik Amanah, terutama di kawasan luar bandar.

Amanah juga boleh memanfaatkan cabaran sosioekonomi dihadapi sebahagian besar rakyat Kelantan terutamanya kadar kemiskinan tegar yang tinggi dan peluang pekerjaan untuk menawarkan dasar lebih progresif, pragmatik dan relevan.

Hakikatnya, bukan mudah bagi Amanah untuk merealisasikan impian menang berbelas kerusi DUN di Kelantan pada PRU16, namun segalanya pasti tidak mustahil sekiranya parti itu merangka gerak kerja dan strategi tepat.